Sunday, April 18, 2010

TAKTIK KOTOR BN MENJATUHKAN PAKATAN RAKYAT

Sinar harian 18 April 2010

PKR dakwa SPR tukar lokasi 13,488 pengundi PRK Hulu Selangor

HULU SELANGOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar pusat mengundi secara tiba-tiba yang membabitkan 13,488 pengundi dekat sini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, tindakan itu jelas menunjukkan badan yang ditugaskan untuk pengurusan pilihanraya itu cabang/agen kepada Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan PKR.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya meneliti daftar pemilih yang dikeluarkan SPR iaitu sebilangan besar dari 64,500 pengundi dipindahkan pusat mengundi tanpa sebarang makluman kepada pengundi yang terlibat.


“Bayangkan 13,488 pengundi akan buang undi di tempat yang biasa dan sekiranya mereka menyemak nama tetapi tiada. Itu akan menyebabkan berlakunya kecelaruan serta kekecohan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri yang terletak di sini.:


“Ini menunjukkan SPR tidak bertanggung jawab dan saya yakin tindakan SPR itu adalah taktik kotor untuk menjatuhkan PKR,” katanya pada sidang media di Pusat Media PKR di Kuala Kubu Bharu di sini, semalam.


Beliau juga mendakwa 558 pengundi dibersihkan daripada senarai daftar pemilih pada Disember 2009.


“Saya dapati tiada kemasukan baru pengundi dan kita sedang siasat untuk pastikan 558 pengundi itu benar-benar sudah meninggal dunia,” katanya.


Fuziah berkata, seramai 230 pengundi di Kampung Tanjung di Sungai Choh dipindahkan daripada senarai pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Hulu Selangor ke Parlimen Selayang.


Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, tindakan itu adalah taktik kotor BN untuk menewaskan Pakatan Rakyat.


“Selepas pilihan raya kali ini kita akan aktif kembali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan desak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipecat dan digantikan pemimpin berwibawa bagi menjamin ketelusan perjalanan pilihan raya,” katanya.


Sukarnya pastikan pilihan raya adil
- ABDUL AZIZ BARI

Kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), kini sedang bergelut untuk memastikan kemenangan calon masing-masing pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad ini. Sebenarnya kedua-dua pihak telah pun memulakan kempen sebaik-baik saja Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Dr Zainal Abidin Ahmad, meninggal dunia hujung bulan lalu.


Sebagaimana lazim, isu pengendalian pilihan raya yang tempang dan berat sebelah menjadi isu. Ini sudah menjadi ciri tetap pilihan raya di negara ini. Dalam soal ini, Malaysia masih berada dalam kelompok negara-negara yang autokratik dan mundur demokrasinya seperti Singapura, Zimbabwe dan Myanmar. Ini memalukan kerana rakan-rakan dalam Asean seperti Filipina, Indonesia dan Thailand sudah jauh meninggalkan kita dalam soal proses pilihan raya.


Hanya kerana BN tewas tidak bermakna sistem dan mekanisme pilihan raya di negara ini bebas dan adil. Ada beberapa ciri dan syarat yang perlu wujud dalam sistem ini sebelum ia boleh dikatakan bebas dan adil. Ini semua ditentukan piawaian antarabangsa yang diterima kebanyakan negara.


Ruangan ini tidak cukup besar untuk menjelaskan piawaian itu. Dan saya rasa semua orang tahu dan maklum, meskipun tidak secara terperinci, apa yang dikatakan 'bebas dan adil' dalam konteks pilihan raya.


Seperti yang kita duga, BN menerima pukulan pertama daripada Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) kerana dikatakan gagal mematuhi undang-undang pilihan raya. Ini mendapat respons yang keras daripada BN apabila Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyanggah dakwaan itu selain mempertikaikan kredibiliti Mafrel sendiri. Selama ini, badan pemantau pilihan raya itu diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kerja-kerjanya.


Kita tidak pasti sama ada SPR mempunyai asas undang-undang atau tidak dalam mengiktiraf Mafrel. Walaupun ia sepatutnya bebas daripada kerajaan, mereka yang arif dan berpengalaman dengan perjalanan pilihan raya di Malaysia kebanyakan tidak memberikan markah yang tinggi kepada badan yang penubuhannya diperincikan oleh perlembagaan itu. Ini kerana SPR sentiasa memperlihatkan gelagat yang sama; bila berdepan dengan isu-isu yang mempunyai potensi negatif kepada BN, SPR mengambil sikap tidak kisah atau mengatakan mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang. SPR juga banyak mengambil langkah menyusahkan parti-parti lawan BN.


Gelagat SPR ini tidak berbeza dengan pasukan polis. Bagaimanapun polis lain kerana ia adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam. SPR adalah badan bebas. Kedudukan dan peranan SPR sepatutnya menunjukkan ianya bersikap bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti samada BN atau pun PAKATAN RAKYAT apatah lagi untuk bertindak hanya semata untuk pihak BN.


Dalam pilihan raya kecil kali ini, nampaknya bukan BN sahaja yang berhadapan dengan tuduhan menyalahgunakan kemudahan awam. Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin PR pun dikatakan melakukan perkara sama. Ini tidak dinafikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tetapi saya tidak pasti apakah jenis dan darjah penyalahgunaan itu sama dengan apa yang didakwa dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Walau apa pun kenyataan Khalid itu disoal oleh sebuah portal berita: apakah PR akan melakukan apa sahaja hanya kerana ia dilakukan oleh BN?


Saya tidak fikir soalan itu salah atau tidak patut. Mungkin ia sengaja ditimbulkan oleh portal berita itu supaya PR jangan pergi jauh sangat dan lupa bahawa mereka menjanjikan sesuatu yang berbeza dengan BN.


Saya fikir apa yang penting dalam keadaan yang ada di Malaysia sekarang ialah supaya PR cerdik dan berhati-hati. Tidak lurus bendul. Ini kerana sebelum ini Kerajaan Negeri Kelantan pun pernah dikatakan menggunakan kemudahan kerajaan oleh pasukan pemantau Mafrel. Tetapi kita harus ingat bahawa mereka hanya menyatakan fakta dan apa yang berlaku. Selain itu, apa yang boleh kita lakukan dalam keadaan agensi-agensi berkenaan seperti SPR atau polis hatta mahkamah tidak dapat diyakini sepenuhnya.


Di sisi undang-undang, terutamanya undang-undang antarabangsa, ada satu prinsip atau doktrin yang dipanggil doctrine of proportionality di mana sesuatu yang tindakan itu dinilai atau diadili dalam konteks yang sebenar. Di bawah prinsip ini, sesuatu tindakan atau respons tidak boleh melebihi apa yang cuba hendak ditangani. Dalam undang-undang jenayah atau undang-undang pentadbiran pun konsep sedemikian wujud dengan nama yang berbeza.


Berbalik kepada isu pilihan raya bebas dan adil tadi, adalah jelas bahawa ia memerlukan sebuah prasarana yang mendarah daging dalam masyarakat. Undang-undang sahaja tidak mencukupi. Kita di Malaysia bukan tidak cukup undang-undang. Sebaliknya sudah berlebihan hinggakan Ahli Parlimen pun tidak mempunyai masa yang cukup untuk meneliti rang undang-undang yang dibentangkan di hadapan mereka.


Pilihan raya yang bebas dan adil boleh wujud jika rakyat faham dan sedar kepentingannya. Apabila ini sudah kelihatan, pihak-pihak yang berkaitan, baik parti-parti politik mahupun polis dan SPR, tidak mempunyai pilihan: mereka perlu mematuhi peraturan, baik dari segi peruntukan mahupun semangatnya.


* Penulis mengajar undang-undang lebih 20 tahun.


SPR terus dipertikai kerana pindah pengundi
Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 21 April: Gara-gara lebih 50 pengundi dari Kampung Tanjong mengadu bahawa nama mereka tidak terdapat dalam Buku Daftar Pemilih mengakibatkan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah nama pengundi Hulu Selangor ke Parlimen Selayang terus dibongkar.

Calon Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, SPR seharusnya bersikap lebih adil dalam menguruskan pilihan raya kecil kali ini.

“Sebagai calon, saya harap SPR boleh bersikap lebih adil, sebab itu (Pakatan Rakyat) menyertai pilihan raya (kecil ini),” ujar Zaid di Pusat Informasi Media, Kuala Kubu Baru petang tadi.

Beliau yang juga Koordinator Pakatan Rakyat berkata, SPR sewajarnya bertindak pantas memindahkan semula para pengundi terbabit ke senarai asal dalam Buku Daftar Pemilih sebelum Hari Mengundi, Ahad ini.

Gesaan Zaid itu, termasuk membuka banyak kaunter SPR di sekitar Parlimen Hulu Selangor supaya para pengundi boleh membetulkan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh SPR sendiri.

“Saya harap SPR bertindak, bukalah kaunter agar para pengundi dipindahkan semula ke tempat asal. Saya berharap suatu tindakan yang luar biasa,” ujarnya.

Sekiranya SPR gagal berbuat demikian sekali pun, bagi beliau, para penyokong Pakatan Rakyat dan pengundi sendiri tidak seharusnya berputus asa.



Sebaliknya, mereka diminta terus bekerja kuat agar amalan tidak demokratik sepanjang pilihan raya kali ini boleh diminimumkan.

“Saya harap, kita tidak berputus asa pada jalan yang salah,” ujar beliau.

Selain memberi isyarat yang jelas kepada SPR, beliau turut merayu kepada para pengundi terbabit supaya membantu SPR.

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh (gambar) tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pemindahan para pengundi terbabit adalah inisiatif strategik sempena pilihan raya kali ini.

Katanya, ini kerana berdasarkan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, undi dari kampung tersebut majoritinya menyebelahi calon Pakatan Rakyat.

Selain menyalahkan SPR, beliau turut mempertikai Dewan Rakyat kerana menolak dua kali berturut-turut usulnya berhubung isu kelemahan SPR.

“Dua kali Parlimen menolak usul saya, SPR pula terus dalam penafian selepas saya mengeluarkan bukti,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Walaupun SPR dianggap cuba bersikap tidak demokratik dalam menguruskan pilihan raya kali ini, beliau berkata, jentera PKR akan membuka kaunter-kaunter untuk mengenal pasti para pengundi berbaki yang dipindahkan ke Kampung Tanjong.

Demi memudahkan mereka yang terbabit membuat sebarang aduan berkaitan SPR dan pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor, jentera PKR turut membuka talian perkhidmatan bebas, 019-3260874.

Pun begitu, dalam nada menyindir, beliau berkata inisiatif Pakatan Rakyat bukanlah disebabkan bersetuju dengan sikap tidak progresif SPR sendiri.

“Kita (seolah-olah) melakukan kerja-kerja SPR,” ujarnya.

Tuntas dari kes pemindahan pengundi tersebut, beliau mewakili Pakatan Rakyat mendesak para pemimpin tertinggi SPR supaya meletak jawatan sesegera mungkin, sekiranya masing-masing masih mempunyai maruah diri.